Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kemalangan Motosikal: Dijangka Lahir Minggu Depan, Arwah Tak Sempat Tatap Wajah Anak Ketiga

Kemalangan Motosikal: Dijangka Lahir Minggu Depan, Arwah Tak Sempat Tatap Wajah Anak Ketiga

Dijangka lahir pada minggu depan, penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, Gelugor di Pulau Pinang awal pagi semalam tidak sempat menatap wajah bakal anak ketiganya, lapor Kosmo!.


Menerusi satu temubual bersama pemberita Kosmo! semalam, isteri kepada mangsa, Muhamad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25, iaitu Norhanazielah Hanazi, 28, dirinya tidak dapat menahan sedih dan masih terkejut akan kejadian yang berlaku.


Menurut Kosmo!, sejurus mendapat info daripada rakan-rakan tentang kemalangan tersebut yang berlaku pada 4:30 pagi semalam, dia bergegas ke lokasi kejadian walaupun ketika itu dirinya sedang sarat mengandung.


“Lagi bertambah pilu apabila anak-anak berusia lapan dan empat tahun menangis apabila diberitahu bapa mereka mening­gal dunia.


“Saya pula sedang menghitung hari untuk bersalin anak ketiga kami yang dijadualkan pada 27 Julai ini.


“Arwah yang paling tidak sabar menanti kehadiran cahaya mata ini dan segala kelengkapan sudah siap dibeli,” ujarnya, memetik Kosmo!.


Tambah Norhanazielah, arwah suaminya sempat bertanyakan khabar tentang keadaannya dan anak-anak melalui aplikasi WhatsApp pada jam 2 pagi.


Tidak kurang juga, malah katanya, arwah sejak kebelakangan ini dikatakan sentiasa mahu berdamping dengan mereka sekeluarga di rumah.


“Dia sanggup tidak pergi kerja semata-mata mahu membawa kami berjalan-jalan dan makan,” ujar wanita itu lagi.


Difahamkan, berdasarkan kenyataannya seperti yang dilapor Kosmo!, arwah suaminya bekerja sebagai penghantar barang atau disebut sebagai runner.


Lapor Kosmo!, turut sama terkorban dalam nahas tersebut ialah dua rakannya iaitu Muhamad Shazwan Hakim Mohd. Abdul Sani, 22, dan Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19.


Menurut Kosmo!, jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda di Sungai Ara.


kemalangan motosikal
Keratan laporan berita semalam


Imbas kembali laporan Bernama semalam, empat maut manakala tiga lagi cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan termasuk kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu awal pagi semalam.


Menurut Bernama, tiga daripada mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).


Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata mangsa yang maut berusia antara 17 hingga 25 tahun, manakala yang cedera parah pula berumur antara 19 hingga 34 tahun.


“Pihak polis menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 4.30 pagi dan siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada kira-kira 4 pagi di kawasan lebuh raya berkenaan menghala ke pusat bandar George Town melibatkan beberapa motosikal disyaki terlibat dalam kegiatan lumba haram,” katanya, memetik Bernama semalam.

Post a Comment for "Kemalangan Motosikal: Dijangka Lahir Minggu Depan, Arwah Tak Sempat Tatap Wajah Anak Ketiga"