Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pilu, Suami Meninggal Dunia Dirempuh MPV Seludup 500Kg Ketum. "Allahuakbar Abang.."

Pilu, Suami Meninggal Dunia Dirempuh MPV Seludup 500Kg Ketum. "Allahuakbar Abang.."



Kubang Pasu: Lelaki maut selepas kereta dinaiki bersama isterinya dirempuh penyeludup yang membawa 500 kilogram (kg) ketum di Jalan Kampung Padang Gelanggang, Ayer Hitam, di sini, awal pagi hari ini.


Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, pemandu Proton Iswara, Ahmad Sofberi Sharif, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Hananie Hassim, 28, parah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan kaki.


Penyeludup lelaki berusia 29 tahun berasal dari FELCRA Lubuk Sireh, Padang Besar, yang memandu Nissan Grand Livina turut parah akibat cedera pada bahagian badan, kepala dan kaki.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) yang sarat muatan ketum terbabit dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kangar, Perlis.


Katanya, pemandu kereta Proton Iswara dan isterinya pula baharu selesai berniaga dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pida 8, Sanglang.


"Sebaik tiba di lokasi, MPV terbabit disyaki cuba memotong lori sebelum memasuki laluan bertentangan menyebabkan kenderaan itu bertembung kereta Proton Iswara dinaiki mangsa dan isterinya.


"Akibat pelanggaran itu, mangsa dan isterinya tersepit di dalam kenderaan menyebabkan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.


Rodzi berkata, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya dan pemandu MPV dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan lanjut.


"Kita percaya pemandu MPV berkenaan terbabit dalam kegiatan penyeludupan ketum dan berkemungkinan baharu sahaja mengambil bekalan daun ketum untuk diseludup ke negara jiran.


"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih dilakukan dan kita berharap orang ramai yang melihat kejadian dapat tampil membantu siasatan yang setakat ini dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.


Mayat mangsa kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Jitra untuk tujuan bedah siasat.

Post a Comment for "Pilu, Suami Meninggal Dunia Dirempuh MPV Seludup 500Kg Ketum. "Allahuakbar Abang..""